Pulangan Cukai 25% Kepada Johor
Menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang telah menzahirkan agar Kerajaan Persekutuan memulangkan sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai pendapatan yang disumbangkan oleh Johor, untuk digunakan semula demi pembangunan negeri ini.
Syukur Alhamdulillah, Johor terus mencatat pencapaian luar biasa sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara. Pada suku pertama 2025, Johor merekodkan nilai pelaburan diluluskan tertinggi di Malaysia sebanyak RM30.1 bilion. Tahun 2024 pula menyaksikan Johor mencatat kadar pertumbuhan KDNK tertinggi di negara ini iaitu 6.4 peratus, mengatasi purata nasional sebanyak 5.1 peratus. Dalam sektor pertanian, Johor juga muncul sebagai peneraju dengan nilai jualan tertinggi sebanyak RM27.2 bilion.
Kejayaan ini adalah hasil kepimpinan di bawah naungan DYAM Pemangku Sultan Johor serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Namun begitu, Johor kini berdepan keperluan mendesak untuk mempercepatkan pelbagai projek asas rakyat termasuk penambahbaikan infrastruktur, sistem kesihatan, pengurusan banjir dan kebajikan rakyat.
Sehubungan itu, titah agar sekurang-kurangnya 25% hasil cukai pendapatan dipulangkan semula kepada Johor bukanlah tuntutan yang bersifat mendesak tanpa asas, apatah lagi menafikan kerjasama erat dengan
Kerajaan Persekutuan. Sebaliknya, ia merupakan satu cadangan yang rasional, strategik dan berpandangan jauh agar negeri yang telah terbukti menyumbang besar kepada kemakmuran negara turut diberikan keupayaan kewangan dan kuasa pengurusan yang lebih adil dan efektif.
Sekiranya hasil ini dapat diurus dan diagihkan dengan lebih telus dan cekap, bukan sahaja rakyat Johor akan mendapat manfaat secara langsung, malah ekonomi negara juga akan menerima limpahan positif yang lebih besar. Dengan kemudahan kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan sosial yang bertambah baik, Johor akan menjadi lebih kompetitif, mampan dan bersedia menyumbang lebih jauh kepada pembangunan Malaysia secara menyeluruh.
Kerajaan Negeri Johor sentiasa berpegang kepada semangat kebersamaan dengan Kerajaan Persekutuan. Namun dalam masa yang sama, Johor wajar dilihat bukan hanya sebagai penyumbang angka ekonomi negara, tetapi sebagai rakan kongsi strategik yang boleh digerakkan untuk menjayakan agenda pembangunan negara dengan lebih pantas dan menyeluruh, demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
Kerajaan Negeri berharap agar cadangan ini dapat diperhalusi dan dipertimbangkan dengan sebaiknya oleh pihak Kerajaan Persekutuan, demi kepentingan bersama. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




