Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan mengiringi YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 yang berlangsung penuh semangat di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor.

Dengan tema “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni”, sambutan kali ini menzahirkan komitmen seluruh lapisan masyarakat dalam memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan negara. Tema ini selari dengan agenda Kerajaan Negeri yang mendahulukan kebajikan rakyat melalui dasar-dasar yang inklusif dan program berbentuk kesejahteraan sosial.

Pemilihan Muar sebagai lokasi perasmian bukanlah satu kebetulan, tetapi ia merupakan bentuk pengiktirafan terhadap Negeri Johor serta sejarah perjuangan yang telah lama berakar umbi. Muar menjadi saksi perjuangan pemimpin terdahulu demi memastikan terbentuknya sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan bersatu. Penghormatan ini bukan sahaja mengangkat nilai sejarah, malah menyemarakkan semangat generasi kini.

Saya juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas pengumuman inisiatif baru-baru ini untuk seluruh rakyat Malaysia. Bukan itu sahaja, YAB Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM10 juta khusus untuk pembangunan di daerah Muar. Rakyat Johor amat menghargai setiap inisiatif yang diumumkan, apatah lagi ia selaras dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam menyantuni dan memperkasa rakyat.

Saya yakin, sambutan ini bukan sekadar laungan patriotik atau kibaran bendera, ia adalah medan menyatukan semula hati dan jiwa kita sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa mahupun agama. Dengan semangat perpaduan dan muafakat yang terus subur di Johor, kita akan terus melangkah gagah sebagai sebuah bangsa yang merdeka, berdaulat, dan bersatu hati. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor