Johor-Singapore Special Economic Zone Joint Business And Investment Forum
Syukur Alhamdulillah. Saya berpeluang hadir ke Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) Joint Business and Investment Forum bersama YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri MITI Malaysia, dan H.E. Gan Kim Yong, Timbalan Perdana Menteri Singapura, bertempat di Persada Johor.
Kehadiran lebih 1,000 peserta termasuk tokoh-tokoh utama sektor awam dan swasta dari kedua-dua negara mencerminkan keyakinan tinggi terhadap potensi JS-SEZ. Forum ini menjadi bukti keseriusan Malaysia dan Singapura dalam membina sebuah ekosistem pelaburan bertaraf dunia dan kompetitif.
Dalam ucapan, saya turut menyatakan keyakinan bahawa Johor kini berada di landasan yang tepat untuk melakar masa depan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan. Dengan rekod pelaburan berjumlah RM48.5 bilion pada tahun 2024, serta tambahan RM27.4 bilion hanya dalam suku pertama 2025, Johor sedang membina momentum pertumbuhan ekonomi yang luar biasa.
Semua ini jelas mencerminkan keyakinan berterusan para pelabur terhadap kekuatan asas Johor, sebuah negeri yang bukan sahaja stabil dari segi politik dan ekonomi, tetapi juga mempunyai kedudukan geostrategik yang sangat signifikan di rantau ini dalam memacu transformasi ekonomi berskala besar.
Bagi melengkapkan pembangunan JS-SEZ, Kerajaan Negeri Johor turut mencadangkan penubuhan ASEAN Industrial Park dan Johor Regulatory Sandbox. Inisiatif ini bakal merangsang inovasi, memperkukuh rantaian bekalan serantau, serta memperluas kolaborasi dan pemindahan teknologi antara negara-negara ASEAN.
Setinggi -tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Singapura dan semua yang terlibat dalam menyokong usaha ini. Semoga usaha ini dapat memperkukuh kerjasama antara semua pihak sekaligus membangunkan Johor sebagai pusat pelaburan yang maju, serta memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi serantau. Insya-Allah.