Majlis Perasmian Ferrotec Power Semiconductor Malaysia
Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang hadir ke Majlis Perasmian Ferrotec Power Semiconductor Malaysia di Pasir Gudang, sebuah pelaburan strategik yang bakal mengukuhkan kedudukan Johor dalam sektor teknologi dan inovasi.
Kehadiran syarikat bertaraf global seperti Ferrotec Group bukan sekadar membawa pelaburan bernilai RM615 juta atau mewujudkan lebih 400 peluang pekerjaan termasuk 120 jawatan berkemahiran tinggi. Ia adalah bukti nyata keyakinan pelabur terhadap Johor sebagai destinasi pelaburan masa depan, khususnya dalam sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, mobiliti hijau, dan tenaga boleh diperbaharui.
Pelaburan ini lebih daripada sekadar angka, kerana ia turut membawa nilai tambah melalui latihan kepada bakat tempatan, kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi, serta pemindahan teknologi canggih yang akan menguatkan ekosistem industri di negeri ini. Dengan ini, kita bukan sahaja memperoleh modal asing, tetapi juga memperkasa daya saing negeri Johor dalam jangka panjang.
Kerajaan Negeri mengalu-alukan lebih ramai pelabur antarabangsa dan tempatan untuk melihat Johor sebagai rakan strategik dalam menjayakan agenda pertumbuhan global. Johor bukan sahaja menawarkan potensi besar dari segi lokasi dan infrastruktur, malah turut menyediakan pelbagai inisiatif terbaik seperti IMFC-J dan JTDC yang akan menyokong situasi menang-menang untuk semua pihak.
Semoga pelaburan Ferrotec ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi di Johor, sekali gus mempercepatkan aspirasi kita untuk menjadikan Johor sebagai pusat pertumbuhan utama menerusi agenda JS-SEZ. Insya-Allah.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, YB Tuan Lee Ting Han; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, YB Dato’ Haji Mustaffa Kamal Bin Haji Shamsudin; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Tuan Haji Natazha Bin Haris; Pengarah MIDA Johor, Dr. Mohamad Riduan Mohamad Zabri; serta Ketua Pegawai Eksekutif Ferrotec, Mr. He Xianhan.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor