Johor Terus Maju Sebagai Destinasi Pelaburan Pilihan

Syukur Alhamdulillah. Johor terus melangkah ke hadapan sebagai destinasi pelaburan pilihan! Kerajaan Negeri Johor menaruh keyakinan tinggi bahawa Johor akan berada dalam kedudukan 3 tangga tertinggi teratas dari segi nilai pelaburan FDI yang bakal diumumkan oleh pihak MIDA dan MITI tidak lama lagi.

Semalam saya berpeluang berkongsi perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di hadapan lebih 300 hadirin, termasuk 200 pelabur berpotensi dari Singapura, Perancis, Jerman, dan Malaysia. Forum perniagaan yang telah dianjurkan oleh pihak SBF dan UOB ini bukan sekadar sesi penerangan, tetapi merupakan pencapaian penting selepas pemeteraian perjanjian JS-SEZ, sekali gus menandakan fasa seterusnya dalam usaha kita untuk merealisasikan zon ekonomi khas ini.

Sebagai salah satu platform utama untuk melakukan semakan dan menilai komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan JS-SEZ, forum ini memperlihatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Johor sebagai hab pelaburan berdaya saing. Pelaburan strategik yang dibincangkan bukan sahaja akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, malah turut menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dan peningkatan ekonomi negeri.

Antara inisiatif utama dalam menjayakan agenda ini adalah pembukaan pejabat Invest Malaysia Facilitation Centre-Johor (IMFC-J) baru-baru ini, yang berfungsi sebagai platform penting untuk memperkasa perniagaan dan memudahkan urusan pelaburan rentas sempadan. Begitu juga dengan penubuhan Johor Talent Development Council (JTDC) yang menunjukkan komitmen Johor untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang dapat memenuhi permintaan industri masa depan.

JS-SEZ kini bukan lagi sekadar perancangan, tetapi sedang berkembang sebagai realiti yang semakin membuahkan hasil. Dengan sokongan kukuh daripada pelabur dan kerjasama erat semua pihak, saya yakin Johor berada di landasan yang kukuh untuk menjadi kuasa ekonomi serantau. Semoga pelaburan ini terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Johor dan membuka lebih banyak peluang untuk kemajuan dan kemakmuran bersama. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor