JS-SEZ Partners Conference: Advancing Facilitation

Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang hadir ke JS-SEZ Partners Conference: Advancing Facilitation yang dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi di Kuala Lumpur. Persidangan ini menandakan satu langkah penting dalam merealisasikan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang bertujuan untuk memperkukuh pelaburan dan pembangunan ekonomi negeri Johor.

Dalam sesi ini, enam syarikat pelabur antarabangsa dan tempatan telah menyatakan minat mereka untuk melabur dalam sektor-sektor utama seperti kesihatan, teknologi, tenaga boleh diperbaharui, serta infrastruktur minyak dan gas. Kehadiran dan sokongan padu daripada enam institusi kewangan utama iaitu Maybank, CIMB, HSBC, Bank of America, CGS International, dan SMBC menunjukkan keyakinan terhadap potensi Johor sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

Antara inisiatif utama yang diketengahkan termasuk penubuhan Johor Talent Development Council (JTDC), yang menyasarkan untuk melahirkan 10,000 graduan berkemahiran tinggi menjelang 2026. Selain itu, pembangunan Forest City sebagai hab kewangan serantau melalui Special Financial Zone (SFZ) dijangka menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara.

Kerajaan Negeri komited untuk menjayakan pelaksanaan JS-SEZ dengan sokongan padu Kerajaan Persekutuan serta kerjasama erat sektor swasta dan komuniti pelabur. Saya yakin, inisiatif ini akan memberi limpahan manfaat kepada rakyat dan menjadikan Johor sebagai kuasa ekonomi baharu rantau ini menjelang 2030, insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor