Kejayaan Usahawan Melon Hidroponik Johor dan Sokongan Pertanian Negeri

Hari ini saya menerima cenderahati buah Melon Johor segar keluaran SILMI Hydrofarm, usahawan bimbingan Pejabat Pertanian Johor Bahru. Ia diusahakan oleh Encik Silmi Izzani Simi dan isteri, Puan Azreen Abdul Razak secara hidroponik di Tapak Pasar Tani Datin Halimah, Larkin.

Untuk rekod, usahawan ini memulakan penanaman melon sejak 2020 dan pernah mendapat bantuan Geran Agropreneur Muda Tahun 2024 sebanyak RM20,000 (Bantuan sistem IOT) dan insentif Jabatan Pertanian Negeri Johor bernilai RM50,000 (Bantuan Sistem Hidroponik DFT dan bahan binaan SPH).

Kejayaan dan pengalaman beliau dimanfaatkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Johor dengan undangan sebagai penceramah dalam kursus-kursus tanaman hidroponik di bawah jabatan supaya dapat dikongsikan bersama usahawan-usahawan atau bakal usahawan yang lain.

Saya harap akan ramai lagi usahawan tani yang dapat kita lahirkan di negeri ini. Untuk itu saya mengalu-alukan mereka bagi mendapatkan pelbagai informasi berkaitan aktiviti pertanian yang diperlukan di Pejabat Pertanian Daerah masing-masing.
Selamat maju jaya buat semua usahawan tani !