Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2025

Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas perkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2025 yang berlangsung di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru.

Syukur Alhamdulillah. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Saudara Muhammad Farkhan Haron atas kejayaan mempertahankan tali pinggang kejuaraan WBC Asia Bridgerweight selepas menewaskan peninju dari India, Jaskaran Singh. Kejayaan ini bukan hanya menggembirakan peminat sukan tinju, tetapi juga menjadi satu pencapaian yang membanggakan buat Johor.

Perlawanan ini juga menyaksikan “One Last Dance” bagi Saudara Muhammad Farkhan Haron, yang telah memberi segala-galanya dalam dunia tinju profesional. Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) 2025 menjadi satu kenangan manis untuk beliau dan peminatnya, serta membuka lembaran baru dalam sejarah sukan tinju Johor.

Semoga kejayaan ini juga menjadi inspirasi kepada golongan muda Johor untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan. Semoga sukan tinju Johor terus berkembang, melahirkan lebih ramai atlet berpotensi, dan menjadikan negeri Johor sebagai hab sukan tinju yang unggul di peringkat antarabangsa. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor