Kerjasama Strategik Bersama Pihak Grab Menjelang Tahun Melawat Johor 2026

Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang mengadakan perbincangan bersama pihak Grab bagi meneroka pelbagai inisiatif kerjasama strategik yang mampu memperkukuh sektor pelancongan dan pengangkutan Johor, terutamanya menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

Menerusi pertemuan ini, antara agenda utama yang dibincangkan termasuk kemas kini berhubung Perjanjian Perjalanan Rentas Sempadan (Cross Border Travel Agreement), serta cadangan kolaborasi bersama Tourism Johor bagi menjayakan kempen Visit Johor 2026 secara lebih menyeluruh dan inklusif.

Mesyuarat ini turut menyentuh potensi kerjasama rentas sempadan yang melibatkan kerjasama antara Kementerian Pengangkutan (MOT) Malaysia dan Singapura, dengan peranan Grab dan penyedia pengangkutan awam lain dalam melancarkan pergerakan pelancong dan rakyat antara kedua-dua negara.

Selain itu, satu platform gabungan digital dan fizikal turut dicadangkan dengan memperkenalkan tempat-tempat menarik yang wajib dikunjungi di Johor. Inisiatif ini dilihat berpotensi besar untuk membantu pelancong mendapatkan maklumat dengan lebih mudah, sama ada secara dalam talian mahupun luar talian, sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan negeri.

Saya yakin, inisiatif ini bukan sahaja akan memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan dan pengangkutan negeri, tetapi juga membuka peluang pendapatan baharu kepada rakyat, merancakkan ekonomi setempat serta menjadikan Johor sebagai negeri yang moden, terbuka dan bersedia menerima kedatangan dunia. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor