Meninjau Pelaksanaan Pelbagai Inisiatif Penambahbaikan Hospital Sultanah Aminah
Syukur Alhamdulillah, saya bersama YB Ling Tian Soon, EXCO Kesihatan telah turun padang melawat Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi meninjau pelaksanaan pelbagai inisiatif penambahbaikan yang sedang giat dilaksanakan demi keselesaan dan kesejahteraan Bangsa Johor.
Antara fokus utama lawatan ini ialah pengoperasian Klinik Wakaf An-Nur, yang kini dibuka lima hari seminggu untuk kes bukan kritikal. Klinik ini bukan sahaja menawarkan alternatif kepada pesakit, tetapi turut membantu mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan terutamanya ketika waktu puncak. Saya telah mengarahkan supaya bilangan doktor ditambah bagi memperluas kapasiti rawatan dan mempercepatkan tempoh menunggu pesakit.
Satu lagi inisiatif penting ialah pelaksanaan Smart Queue System (SQS) yang akan mula diuji Julai ini. Sistem ini membolehkan pesakit semak janji temu dan ambil nombor giliran secara dalam talian, hanya perlu hadir 30 minit sebelum waktu temu janji. Ini merupakan lonjakan penting ke arah pendigitalan perkhidmatan awam yang lebih mesra rakyat.
Selain itu, saya juga meninjau kerja-kerja naik taraf sistem bekalan elektrik utama serta sistem elektrikal dan mekanikal hospital. Saya dimaklumkan mengenai pengoperasian semula Wad Barat 5 yang akan dibuka tidak lama lagi. Terima kasih saya ucapkan kepada NGO dan para penyumbang yang tampil membantu membekalkan katil dan tilam bagi menjayakan pengoperasian ini.
Tidak cukup dengan itu, usaha penambahbaikan turut melibatkan kemudahan asas seperti tandas dan surau, yang kini berada dalam fasa akhir dan dijangka siap sepenuhnya sebelum hujung tahun ini. Dalam lawatan yang sama, saya turut menyaksikan penyerahan sebuah ambulans baharu kepada Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan respons perkhidmatan kesihatan di lapangan.
Tambahan lagi, bagi meningkatkan kemudahan rawatan, HSA juga telah menerima sumbangan 250 unit katil mekanikal, 57 unit katil bayi (child cot) dan 102 unit baby bassinet yang pastinya akan meningkatkan kualiti rawatan khususnya pesakit pediatrik.
Saya sedar dan insaf masih ramai Bangsa Johor yang menanti perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, lebih cepat dan lebih mesra. Semoga segala usaha ini akan membawa ke arah sistem kesihatan yang lebih adil dan menyeluruh untuk semua. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




