KES KEDAULATAN BATU PUTEH, BATUAN TENGAH DAN TUBIR SELATAN

KENYATAAN MEDIA
LAPORAN SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA BAGI MENGKAJI PENGENDALIAN KES KEDAULATAN
BATU PUTEH, BATUAN TENGAH DAN TUBIR SELATAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam Maju Johor

1. Saya telah menerima petisyen Himpunan Batu Puteh yang telah dianjurkan semalam, 03 Januari 2025. Kerajaan Negeri Johor memandang serius intipati petisyen ini dan mengikuti perdebatan awam yang sedang berlaku di Johor susulan penerbitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja pada 5 Disember 2024 berhubung pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

2. Laporan tersebut mendedahkan tindakan Kerajaan Persekutuan menarik balik permohonan semakan dan tafsiran keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2018 meskipun wujud bukti-bukti baharu yang mengukuhkan tuntutan Malaysia, malah mematahkan alasan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tahun 2008 yang memihak kepada Singapura.

3. Penarikan semula permohonan tersebut di buat meskipun wujud bukti yang kukuh untuk menyokong tuntutan Malaysia khususnya:
i. Pengiktirafan oleh Hakim Majoriti ICJ bahawa Malaysia melalui Kesultanan Johor telah mempunyai hak milik ke atas pulau-pulau di Selat Singapura termasuk Batu Puteh sejak kurun ke-17.
ii. Pengiktirafan oleh Hakim Majoriti ICJ bahawa hak milik Batu Puteh di bawah Kesultanan Johor terus kekal merentasi Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Perjanjian Crawfurd 1824 hingga akhir 1840-an.
iii. Dokumen-dokumen rasmi Kerajaan British dari tahun 1950 – 1960an yang sendiri mengiktiraf Batu Puteh sebagai kawasan di dalam perairan Johor.

4. Realitinya, keputusan penarikan permohonan semakan dan tafsiran terhadap membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) telah dibuat secara sengaja, tanpa asas munasabah yang bertentangan dengan fakta sejarah dan nasihat perundangan, malah membelakangi Jemaah Menteri dengan membuat keputusan secara sepihak.

5. Dengan tidak meneruskan permohonan tuntutan Malaysia terhadap kes Batu Puteh, maka tercatatlah suatu titik paling hitam dalam lembaran sejarah Malaysia dan Johor, di mana kita telah kehilangan peluang untuk mendapatkan kembali wilayah jajahan Kesultanan Johor. Segala hak yang berbaki untuk menuntut kedaulatan ke atas Batu Puteh kini luput dan terlucut buat selama-lamanya.

6. Kerajaan Negeri dan seluruh Bangsa Johor menzahirkan rasa penuh dukacita di atas pengkhianatan yang telah berlaku. Atas sebab itu, Kerajaan Negeri menuntut agar setiap individu yang terlibat mesti diheret ke muka pengadilan. Mereka perlu dihakimi oleh perundangan negara di atas pengkhianatan ini.

7. Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menggugat keharmonian dan kedaulatan negeri Johor mahupun negara Malaysia.

8. Kerajaan Negeri juga berharap agar tidak ada mana-mana pihak yang cuba memutarbelitkan isu ini sehingga mengancam kedaulatan negeri dan negara.

Sekian, terima kasih

DATO’ ONN HAFIZ BIN GHAZI
Menteri Besar Johor
04 Januari 2025