Kunjungan Rasmi Delegasi Perak ke Johor untuk Kajian Pembangunan Ekonomi JS-SEZ

Syukur Alhamdulillah, saya mewakili YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, untuk menyambut kedatangan delegasi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dibawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Haji Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak, ke Johor.

Untuk makluman semua, tujuan kunjungan delegasi Kerajaan Negeri Perak ini adalah untuk belajar dan melihat perkembangan pembanggunan projek pembangunan Ibrahim Technopolis di bawah inisiatif Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ).

JS-SEZ, atau Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, adalah kawasan seluas 3,505 km² di selatan Johor yang dilengkapi dengan insentif dan peraturan khas untuk memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia-Singapura. Zon ini bertujuan menarik pelaburan, memudahkan pergerakan rakyat serta aliran barangan, dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Antara inisiatif utama yang diperkenalkan termasuk pengurangan birokrasi perniagaan, pelepasan tanpa pasport di pusat pemeriksaan, serta pengurusan kargo secara digital.

Ibrahim Technopolis (IBTEC) merupakan projek utama dalam JS-SEZ, dengan nilai pembangunan kasar RM27 bilion di atas tanah seluas 7,290 ekar. Ia dirancang sebagai hab inovasi dalam industri bioteknologi, pusat data, dan pembangunan bandar mampan. Lokasi strategik serta integrasi teknologi termaju menjadikan IBTEC pemacu pertumbuhan ekonomi rantau ini.

Pelaburan syarikat besar, termasuk dari Singapura, membuktikan potensi IBTEC dalam mempercepatkan pembangunan mampan, memperkukuh kerjasama sektor awam dan swasta, serta memacu inovasi melalui teknologi canggih.

Terima kasih saya ucapkan kepada kunjungan delegasi Kerajaan Negeri Perak kerana sudi memilih Johor untuk belajar dan melihat pembanggunan JS-SEZ ini.

Saya yakin dan percaya dengan lawatan rasmi Kerajaan Negeri Perak ke Johor ini akan dapat memberikan banyak pengalaman serta kemajuan buat negeri Perak. InsyaAllah