Lawatan Ke China Diakhiri Dengan Pertemuan Bersama ByteDance Technology Co. Ltd.
Syukur Alhamdulillah, lawatan kerja saya bersama delegasi Johor ke China diakhiri dengan pertemuan bersama ByteDance Technology Co., Ltd., sebuah syarikat teknologi global berteraskan kecerdasan buatan yang dikenali menerusi platform seperti TikTok, Douyin dan CapCut, serta menjadi antara peneraju utama ekonomi digital dunia.
Pertemuan ini memfokuskan usaha memperkukuh komitmen jangka panjang ByteDance di Johor, berlandaskan pelaburan pusat data berskala besar melebihi RM29.5 bilion di Malaysia, di samping meneroka potensi kerjasama fasa seterusnya melangkaui infrastruktur kepada operasi serantau, kecerdasan buatan dan pembangunan ekosistem kandungan digital.
Menerusi perbincangan ini, saya menegaskan pendirian, bahawa Johor bukan sekadar destinasi infrastruktur, sebaliknya rakan strategik digital yang mampu menyokong operasi berskala besar secara selamat, mampan dan berdaya tahan untuk jangka panjang.
Dengan kedudukan strategik di ASEAN, kos operasi yang kompetitif serta akses langsung ke pasaran serantau, Johor berpotensi menyokong pertumbuhan berterusan ByteDance di Asia Tenggara, termasuk keperluan pusat data berprestasi tinggi, operasi sokongan platform dan pembangunan bakat digital.
Insya-Allah, pertemuan ini menjadi penutup bermakna kepada lawatan rasmi di China, sekali gus membuka laluan baharu kerjasama strategik yang memposisikan Johor sebagai hab digital serantau yang selamat, mampan dan berdaya saing untuk jangka masa panjang.
Semoga usaha ini terus memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi Johor dan kesejahteraan rakyat. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




