Sesi Dialog Pelaburan Strategik Di Beijing
Syukur Alhamdulillah, saya bersama delegasi Johor berkesempatan mengadakan sesi dialog pelaburan strategik di Beijing yang menghimpunkan 53 syarikat terkemuka dari pelbagai sektor dan industri. Sesi ini dianjurkan bersama OCBC Bank dan Bank of Ningbo bagi membuka lebih banyak peluang pelaburan berkualiti tinggi ke negeri Johor.
Melalui pertemuan ini, pelbagai pandangan dan cadangan telah dibincangkan, termasuk hala tuju pembangunan Johor serta harapan pelabur terhadap dasar utama seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ). Pendekatan ini penting bagi mewujudkan situasi menang-menang antara Johor dan rakan pelaburan antarabangsa.
Kerajaan Negeri turut berkongsi komitmen dan keyakinan bahawa Johor memiliki asas ekonomi yang kukuh, stabil dari segi dasar serta berupaya menyediakan ruang ekonomi yang berdaya maju untuk pertumbuhan jangka panjang.
Pelbagai inisiatif utama negeri seperti IMFC-J sebagai pemudah cara pelaburan dan JTDC dalam pembangunan bakat telah diketengahkan, sekali gus menghantar mesej jelas bahawa Johor bersedia menerima pemain industri baharu untuk mengembangkan operasi mereka di negeri ini.
Semoga segala usaha ini terus memperkukuh limpahan ekonomi negeri, membuka peluang pekerjaan dan membawa manfaat yang nyata kepada kehidupan seharian rakyat, agar hasil pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh oleh seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




