Lawatan Ke Jiangsu Longda Superalloy Co. Ltd. Di Shanghai China

Syukur Alhamdulillah. Saya bersama delegasi Johor telah mengadakan lawatan ke Jiangsu Longda Superalloy Co. Ltd. di Shanghai China, sebuah syarikat berteknologi tinggi yang berperanan penting dalam rantaian bekalan global industri aeroangkasa, tenaga dan kejuruteraan berat.

Menerusi pertemuan ini, Jiangsu Longda melalui anak syarikatnya di Malaysia, Singda Superalloy (Malaysia) Sdn. Bhd., telah menyatakan komitmen pelaburan sekitar RM900 juta di Johor, yang dijangka membuka lebih 200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi moden.

Lebih bermakna, pelaburan ini turut disokong melalui kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), termasuk peluang latihan, pembangunan bakat, serta tawaran sekurang-kurangnya 50 peluang pekerjaan graduan dengan pendedahan latihan di Malaysia dan China. Langkah ini penting dalam memastikan anak Johor bukan sekadar menjadi tenaga kerja, tetapi pemain utama dalam industri masa hadapan.

Kami turut membincangkan pembentukan kluster rantaian bekalan industri bersama rakan ekosistem strategik. Usaha ini dijangka mewujudkan limpahan ekonomi yang lebih luas kepada syarikat tempatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta penyedia perkhidmatan di Johor sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab perindustrian berteknologi tinggi yang berdaya saing.

Saya yakin usaha ini akan menjadi pemangkin kepada pelaburan berkualiti tinggi, peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran anak tempatan serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang untuk Bangsa Johor. Semoga usaha ini membawa manfaat kepada rakyat, membuka masa depan anak muda dan memacu Johor ke hadapan selari dengan aspirasi Maju Johor 2030. Insya-Allah. 

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JSSEZ #JTDC #IMFCJ