Lawatan Kerja Ke Wuxi Hyatech Co., Ltd Di Jiangsu, China

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan mengadakan lawatan kerja ke Wuxi Hyatech Co., Ltd di Jiangsu, China. Hyatech merupakan pembekal kepada syarikat aeroangkasa terkemuka dunia seperti Rolls-Royce, Safran dan GE Aerospace, khususnya dalam pembuatan komponen enjin pesawat dan turbin, di samping pengeluaran komponen implan ortopedik untuk sektor perubatan global.

Hyatech juga merupakan sebuah syarikat berteknologi tinggi yang tersenarai di STAR Market, Shanghai Stock Exchange. Kedudukan ini mencerminkan keupayaan teknologi, tadbir urus yang kukuh serta daya saing di peringkat antarabangsa, khususnya dalam industri bernilai tinggi berasaskan inovasi dan kepakaran teknikal.

Pertemuan ini memberi fokus kepada perbincangan potensi pelaburan bernilai tinggi di Johor. Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk penilaian lokasi strategik serta sokongan ekosistem industri negeri bagi memastikan pelaburan ini dapat direalisasikan secara mampan dan berimpak tinggi.

Keutamaan Kerajaan Negeri adalah memastikan setiap pelaburan yang dibawa masuk memberi limpahan ekonomi kepada rakyat. Ini termasuk pembukaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, penyediaan latihan kepada tenaga kerja tempatan, serta pemindahan ilmu dan kepakaran teknologi kepada industri dalam negeri.

Sebagai bukti keupayaan dan hala tuju jangka panjang, Hyatech telah mencatat perkembangan pesat melalui pelaburan bernilai CN¥1 bilion (USD140 juta) bagi pengembangan fasa ketiga fasiliti aero-enjin pada Januari 2024, yang dijangka menjana tambahan hasil tahunan sekitar CN¥2 bilion, sekali gus mengukuhkan kapasiti pengeluaran serta keupayaan teknologi berteraskan inovasi tinggi.

Kerajaan Negeri yakin kerjasama strategik seperti ini mampu menjadi pemangkin transformasi ekonomi Johor. Insya-Allah, ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, memperkukuh pemindahan teknologi, dan menjadikan Johor destinasi pilihan pelabur global dengan manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JSSEZ #JTDC #IMFCJ