Mesyuarat Task Force Kos Sara Hidup Negeri Johor

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan mempengerusikan Mesyuarat Task Force Kos Sara Hidup Negeri Johor, satu isu yang bukan sahaja besar dari sudut pentadbiran negeri, tetapi amat dekat di hati saya secara peribadi. Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan kadar inflasi yang terus memberi tekanan kepada kehidupan rakyat, isu ini menyentuh nadi kehidupan 4.1 juta rakyat Johor.

Johor kini terus mencipta rekod mencatat KDNK tertinggi di Malaysia pada kadar 6.4% bagi tahun 2024, merekodkan pelaburan tertinggi negara sebanyak RM30.1 bilion hanya dalam suku pertama 2025, dan kekal peneraju eksport pertanian negara. Namun, kita tidak mahu kejayaan ini tinggal sebagai angka atas kertas semata-mata.

Pencapaian sebenar adalah apabila rakyat sendiri merasa nikmat kemajuan ini dalam kehidupan seharian dimana rakyat Johor boleh membeli makanan dengan harga berpatutan, menyara keluarga dengan pendapatan yang mencukupi, serta mendapat akses kepada perumahan, pendidikan dan kesihatan yang berkualiti dan mampu milik.

Atas kesedaran itu, mesyuarat hari ini memberi fokus kepada langkah-langkah praktikal dan menyeluruh, termasuk peningkatan kekerapan program Jualan Kasih dan Jualan Rahmah, yang dijangka memberi manfaat kepada jutaan rakyat. Turut dibincangkan ialah pelaksanaan mekanisme bantuan digital seperti e-baucar bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar dengan cara yang lebih adil, telus dan mudah diakses.

Saya turut menegaskan bahawa setiap dasar dan inisiatif kerajaan mesti digerakkan secara menyeluruh dan terkoordinasi. Ini bukan masa untuk bekerja dalam silo masing-masing. Setiap jabatan, agensi, PBT dan pemimpin masyarakat mesti berganding bahu. Jika kita bersatu, tiada perkara yang tidak mampu kita hadapi termasuk cabaran kos sara hidup yang membelenggu rakyat hari ini.

Semoga setiap langkah yang diambil ini membawa perubahan yang benar-benar dirasai Bangsa Johor sekali gus menjadi pemangkin kepada negeri yang lebih sejahtera dalam menuju negeri maju menjelang tahun 2030. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor