Lawatan Kerja Rasmi ke Qatar dan Meneroka Fasiliti Sukan Bertaraf Dunia

Menjunjung Kasih ke bawah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas perkenan kepada saya untuk mengiringi YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi bagi Lawatan Kerja Rasmi ke Doha, Qatar minggu lalu.

Ketika lawatan kerja selama 4 hari, saya berkesempatan singgah dan meninjau ke beberapa fasiliti sukan di bandar yang pernah menjadi tuan rumah kepada Piala Dunia FIFA 3 tahun lalu.

Satu daripada lokasi yang dikunjungi ialah Gelanggang sukan Padel, The Padelist yang terletak di Entertainment City, Lusail, Qatar.

The Padelist memiliki 4 gelanggang padel berkualiti (2 indoor dan 2 terbuka) selain dua gelanggang tennis. Ia turut dilengkapi dengan fasiliti lain seperti cafeteria, bilik solat, halaman rehat, dan bilik persalinan serba lengkap.

Gelanggang Padel premium ini juga turut ditaja oleh syarikat penerbangan terkemuka dari negara mereka iaitu Qatar Airways.

Selesai lawatan di The Padelist, saya sempat singgah ke Qatar Sports Club (QSC), satu kemudahan sukan pelbagai guna (multipurpose) yang bukan sahaja memiliki stadium, tetapi juga padang olahraga, padang ragbi, kompleks tenis, masjid dan pusat membeli belah.

Saya sempat meninjau Stadium Suheim bin Hamad atau dikenali dengan nama Qatar SC Stadium yang boleh menempatkan 13,000 penonton dalam satu masa.

Walaupun sudah berusia 40 tahun, stadium ini masih dijaga rapi dengan keadaan rumput padang yang amat baik, malah masih digunakan sebagai ‘home ground’ bagi Kelab Qatar SC serta pasukan kebangsaan mereka.

Sedikit input berguna hasil lawatan ini akan saya panjangkan dan gunakan bagi menambahbaik khususnya buat Perbadanan Stadium Johor (PSJ) dalam mengurus fasiliti stadium serta kemudahan sukan.

Turut bersama saya ketika lawatan ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Ts. Mohd Ekmaluddin Bin Ishak.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Berserah