Lawatan Rasmi Ke Singapura Sebagai Penerima Ke-82 Lee Kuan Yew Exchange Fellowship (LKYEF)
Syukur Alhamdulillah. Pada hari pertama lawatan rasmi saya ke Singapura sebagai penerima ke-82 Lee Kuan Yew Exchange Fellowship (LKYEF), saya dan delegasi Kerajaan Johor telah berpeluang mengadakan pertemuan yang amat bermakna bersama H.E. Mr Gan Kim Yong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura.
Pertemuan ini membuka ruang penting untuk memperkukuh kerjasama dua hala antara Johor dan Singapura dalam bidang perdagangan, pelaburan, dan transformasi ekonomi serantau menerusi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Sehingga kini, melalui Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J), sebanyak 70 syarikat dari Singapura, China, Jerman, UK, Belanda dan pelabur tempatan telah menunjukkan minat melabur di Johor dengan 5 syarikat dari Singapura menyumbang nilai pelaburan sekitar RM1.340 billion, dan tambahan minat berjumlah RM78 juta dalam fasa kedua.
Saya turut berkongsi perkembangan pelaksanaan Pelan Induk JS-SEZ, yang sedang dibangunkan dengan sokongan perunding lantikan Kerajaan Malaysia. Kami juga berbincang tentang cadangan-cadangan strategik seperti penubuhan Free Trade Zone (FTZ) dalam kawasan JS-SEZ, kemudahan pergerakan barangan dan bakat rentas sempadan, serta cadangan membina laluan Sistem Transit Rapid (RTS) kedua di sebelah barat Johor.
Lebih penting lagi, perbincangan turut menyentuh isu yang dekat di hati rakyat antaranya kos sara hidup, keperluan memperkukuh infrastruktur asas, serta mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih cekap dan inklusif. Saya nyatakan bahawa Johor bersedia melaksanakan dasar-dasar yang progresif, namun sentiasa peka terhadap impak kepada kesejahteraan rakyat.
Saya percaya bahawa kerjasama strategik antara Johor, Malaysia dan Singapura ini mesti terus diperkasa demi menjayakan agenda pembangunan yang inklusif, adil dan lestari supaya tiada sesiapa pun yang tertinggal daripada arus kemajuan. Insya-Allah, Johor, Malaysia dan Singapura akan terus menjadi rakan serantau yang saling menguntungkan untuk masa depan yang lebih makmur.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




