Pemeriksaan Stesen Minyak Sekitar Johor Bahru Bagi Memastikan Penjualan Petrol Ron95 Mematuhi Peraturan

Syukur Alhamdulillah, saya bersama YB Lee Ting Han dan pegawai penguatkuasa KPDN Johor telah turun padang untuk menjalankan pemeriksaan di beberapa stesen minyak sekitar Johor Bahru bagi memastikan penjualan petrol RON95 mematuhi peraturan dan tidak disalahgunakan oleh kenderaan berdaftar asing. 

Dalam operasi ini, kami meneliti pematuhan pengusaha stesen minyak terhadap larangan penjualan RON95 kepada warga asing serta memastikan harga yang dikenakan tidak melebihi harga siling RM2.05 seliter. Selain itu, had pengisian diesel sebanyak 20 liter bagi kenderaan asing dalam radius 50km dari sempadan turut diperiksa bagi memastikan peraturan dipatuhi sepenuhnya. 

Kerajaan Negeri Johor, dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, komited memastikan subsidi bahan api ini hanya dinikmati oleh Bangsa Johor dan rakyat Malaysia. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menjual RON95 kepada kenderaan asing atau menaikkan harga melebihi kadar yang ditetapkan. Sebarang ketidakpatuhan yang menjejaskan hak rakyat tidak akan dikompromi. 

Saya juga ingin menyeru orang ramai untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan ketelusan pengedaran bahan api bersubsidi. Sekiranya terdapat sebarang penyelewengan atau pelanggaran peraturan, pengguna boleh menyalurkan aduan melalui Portal e-Aduan KPDN. Setiap aduan akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil. 

Usaha ini akan diteruskan secara konsisten bagi melindungi hak rakyat dan memastikan subsidi sampai kepada mereka yang benar-benar layak. Semoga langkah ini dapat membendung ketirisan subsidi dan memberikan manfaat yang sepatutnya kepada rakyat. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan

Allah Berkati Johor