Majlis Pelancaran Insentif Khemah Tahun 2025
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir ke Majlis Pelancaran Insentif Khemah Kepada Usahawan Mikro Bagi Tahun 2025 di Pasar Malam Jalan Kemuliaan, Taman Universiti.
Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) telah mengagihkan sebanyak 6,000 unit khemah kepada penjaja dan usahawan kecil di seluruh Johor, merangkumi 10 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sebagai usaha memperkasa ekonomi rakyat melalui sokongan fasiliti niaga yang lebih kondusif.
Pada tahun 2024, sebanyak 2,000 unit khemah telah berjaya diagihkan kepada para usahawan mikro. Memasuki tahun 2025, jumlah tersebut mencatat peningkatan membanggakan sebanyak tiga kali ganda. Peningkatan ini jelas mencerminkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri Johor dalam memperluas manfaat kepada rakyat, membela kebajikan peniaga kecil, serta memperkukuh sektor ekonomi mikro di negeri ini.
Khemah yang disediakan bukan sekadar alat berniaga, tetapi simbol sokongan kerajaan kepada pengusaha kecil yang berjuang gigih demi kelangsungan hidup dan kelestarian ekonomi tempatan. Ia juga memperlihatkan kesungguhan kita dalam mempertingkat imej dan standard pasar malam serta penjaja kecil, agar terus relevan dalam landskap ekonomi semasa dan masa depan.
Semoga inisiatif ini menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi mikro yang lebih dinamik, seterusnya menyumbang ke arah peningkatan taraf hidup rakyat Johor secara holistik, merentas bandar, desa dan kampung. Kerajaan Negeri akan terus komited untuk menyediakan dasar yang mendokong aspirasi usahawan kecil dan sederhana di negeri ini. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




