Majlis Pelancaran Jelajah Orang Johor (JOJ) Peringkat Daerah Kluang 2025
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Orang Johor (JOJ) Peringkat Daerah Kluang 2025 serta Sukan Bola Sepak Bersama Malaysian Influencer Organisation (MIO) yang berlangsung di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Renggam.
JOJ merupakan inisiatif strategik Kerajaan Negeri bagi merapatkan hubungan antara pemimpin dengan masyarakat. Ia menjadi wadah untuk mendengar denyut nadi masyarakat, memahami aspirasi mereka, serta memastikan setiap lapisan rakyat menikmati arus pembangunan negeri. Bermula daripada program Kasi ON di Simpang Renggam, inisiatif ini kini berkembang menjadi platform yang menyemarakkan silaturrahim dan memperkukuh perpaduan Bangsa Johor dalam membina negeri yang makmur dan sejahtera.
Pelbagai pengisian bermanfaat dilaksanakan sepanjang program ini, antaranya Program Jualan Kasih, penyampaian bantuan kebajikan dan zakat, penyerahan bakul makanan, sokongan pendidikan, serta pelbagai aktiviti komuniti seperti jualan produk tempatan, pameran agensi dan sukaneka. Semua ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dijaga, sambil menggerakkan ekonomi tempatan dan mengeratkan silaturahim.
Bagi siri JOJ Simpang Renggam ini, kemeriahan ditambah dengan perlawanan bola sepak persahabatan antara Pasukan Simpang Renggam dan pasukan MIO. Saya sendiri berkesempatan turun ke padang, malah berjaya menjaringkan dua gol untuk Pasukan Simpang Renggam. Kata orang, bola itu bulat, kadang-kadang masuk, kadang-kadang tersasar, namun yang paling penting, semangat kebersamaan dan sukan dalam Bangsa Johor yang patut dibanggakan.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Orang Simpang Renggam atas sambutan hangat sempena hari pertama program JOJ ini. Semoga segala usaha ini terus membawa kebaikan bukan sahaja untuk hari ini, tetapi juga untuk generasi masa depan Bangsa Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




