Majlis Pelancaran Polisi Pembangunan Hijau Johor (PPHJ) 2030 Dan Majlis Perasmian Pejabat Johor Sustainability Centre (JSC)

Menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah atas perkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Polisi Pembangunan Hijau Johor (PPHJ) 2030 serta Majlis Perasmian Pejabat Johor Sustainability Centre (JSC).

Turut mengiringi keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong adalah Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Syukur Alhamdulillah, pelancaran PPHJ 2030 menandakan langkah strategik negeri dalam memperkukuh dasar kelestarian yang lebih menyeluruh, berasaskan data serta berpandukan sasaran jangka panjang Johor menuju ekonomi hijau. Dasar ini merangkumi hala tuju rendah karbon, pengurusan sumber semula jadi yang mampan, serta penglibatan masyarakat secara inklusif.

Dengan perasmian Pejabat JSC, Johor kini memiliki pusat penyelaras utama yang akan menggabungkan kepakaran akademik, industri dan kerajaan dalam merangka penyelesaian hijau. 

JSC dengan kepimpinan YB Dato Haji Hasni Muhammad dan disokong penuh oleh kerajaan negeri bakal menjadi nadi pemantauan dasar, pusat inovasi hijau, dan pemacu kerjasama antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan Johor sebagai peneraju kelestarian serantau.

Saya optimis bahawa inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan usaha negeri menuju pembangunan rendah karbon, malah turut mempertingkat daya saing Johor dalam menarik pelaburan berkualiti serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan berasaskan teknologi dan ekonomi hijau.

Semoga segala usaha ini benar-benar membawa manfaat kepada rakyat sekali gus menjadikan Johor sebuah negeri yang lebih maju dan bersih. Insya-Allah. 

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor