Majlis Perasmian Festival Hari Orang Asli Negeri Johor 2025
Syukur Alhamdulillah, saya gembira dapat hadir ke Majlis Perasmian Festival Hari Orang Asli Negeri Johor 2025 di Kluang. Festival ini bukan sahaja sebuah acara kebudayaan, tetapi bukti pengiktirafan terhadap warisan, identiti, dan kekuatan komuniti Orang Asli yang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Bangsa Johor.
Di Johor, terdapat seramai 18,283 masyarakat Orang Asli di 60 buah kampung, terdiri daripada lima etnik utama iaitu Jakun, Seletar, Orang Kuala, Temuan dan Kanaq. Keunikan budaya, bahasa dan seni mereka adalah khazanah berharga yang wajib dipelihara dan diperkenalkan kepada masyarakat umum.
Kerajaan Negeri komited dalam menjaga kebajikan komuniti Orang Asli dengan menyalurkan peruntukan berjumlah RM3.87 juta, yang merangkumi 9 inisiatif. Antaranya termasuklah:
1. RM1 juta bagi Bantuan Tunai One-Off sebanyak RM200 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli di Negeri Johor;
2. RM529.3 ribu bagi Bakul Makanan bernilai RM100 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli Negeri Johor;
3. RM182.5 ribu bagi Bantuan Laptop kepada 73 Pelajar Universiti Orang Asli;
4. RM600 ribu bagi geran khas untuk kos pengurusan dan program Kampung Orang Asli;
5. RM735 ribu bagi naik taraf dan baik pulih 17 dewan dan 32 balai raya dengan setiap lokasi menerima RM15 ribu;
6. RM370 bagi sumbangan kepada masjid dan surau;
7. RM440 ribu bagi naik taraf kemudahan & peralatan sukan;
8. RM13.8 ribu bagi bantuan tunai one-off RM300 kepada 46 Tok Batin Negeri Johor;
9. Penubuhan Jawatankuasa Khas Pembangunan Komuniti Orang Asli Johor.
Pada masa yang sama, saya turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM tahun 2024 dari komuniti Orang Asli. Kejayaan mereka adalah bukti bahawa anak-anak Orang Asli mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, serta bersaing dan berjaya dalam bidang akademik apabila diberi peluang dan sokongan sewajarnya.
Semoga Festival Hari Orang Asli Negeri Johor 2025 menjadi titik tolak transformasi komuniti ini, bukan sahaja sebagai pewaris warisan, tetapi juga sebagai pencorak masa depan negeri. Insya-Allah, bersama-sama kita akan membina sebuah Johor yang lebih makmur, bersatu, dan maju menjelang 2030.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




