Majlis Pengiktirafan Penggunaan Air Alternatif bagi Industri Pusat Data Negeri Johor
Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang mengiringi YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, dalam lawatan kerja ke Johor.
Lawatan dimulakan di Loji Rawatan Kumbahan Awam di Taman Pelangi Indah, diikuti tinjauan ke tapak cadangan Water Reclamation Plant (WRP) di Desa Cemerlang, Ulu Tiram. Kedua-dua fasiliti ini penting dalam memperkukuh pengurusan air lestari di negeri Johor.
Loji Rawatan Kumbahan Awam di Taman Pelangi Indah berperanan memproses air kumbahan sebelum dihantar untuk rawatan lanjut. Efluen terawat ini digunakan sebagai asas penghasilan air tebus guna untuk pelbagai keperluan industri. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan terhadap air mentah, tetapi juga membantu memastikan sumber air bersih untuk rakyat terus terjamin.
Tapak WRP Desa Cemerlang pula menjadi projek pertama seumpamanya di Johor, menggunakan teknologi Membrane Bioreactor (MBR) dan Reverse Osmosis (RO) untuk menukar air buangan kepada air alternatif berkualiti tinggi bagi penyejukan pusat data. Inovasi ini membuktikan bahawa teknologi moden dan kelestarian alam sekitar boleh bergerak seiring, tanpa menjejaskan bekalan air untuk kegunaan harian rakyat.
Seterusnya, kami menghadiri Majlis Pengiktirafan Penggunaan Air Alternatif bagi Industri Pusat Data Negeri Johor, satu langkah penting dalam menyokong penggunaan sumber air secara lestari, sekali gus memastikan pembangunan pesat industri pusat data di negeri ini kekal berdaya saing, mampan dan berterusan.
Menerusi majlis tersebut, kerjasama strategik telah dimeterai antara Indah Water Konsortium, Johor Special Water (JSW), Bridge Data Centres (BDC), Computility (ZDATA) dan Dayone Data Centres, merangkumi pembekalan air terawat dan air mentah untuk diproses semula sebagai air guna semula. Usaha ini mampu meningkatkan nilai pelaburan, mengukuhkan ekosistem digital Johor, dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Kerajaan Negeri kekal komited memacu kelestarian air melalui inovasi berimpak tinggi selari dengan Agenda Maju Johor 2030. Semoga Johor akan terus maju sebagai hab digital dan teknologi serantau yang lestari dan berdaya saing. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




