Tahniah Kepada Tiga Pelajar Sulung Daripada Kohort Biasiswa Orang Muda Johor (BOMJ) 2023

Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang sentiasa menekankan kepentingan pendidikan berkualiti sebagai asas membina masa depan cemerlang untuk anak-anak Bangsa Johor.

Syukur Alhamdulillah saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada tiga pelajar sulung daripada kohort Biasiswa Orang Muda Johor (BOMJ) 2023 yang kini berjaya menempatkan diri di universiti terkemuka dunia!

Mereka ialah Muhammad Fauzi Syahmi bin Mohd Zain yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Bahan di Columbia University, Amerika Syarikat; Laxmann A/L Muralitharan telah diterima ke Imperial College London dalam bidang Bioteknologi; serta Lee Chong Ming yang juga ke Imperial College London dalam bidang Kejuruteraan Kimia.

Sesungguhnya ini bukan sahaja suatu pencapaian yang amat membanggakan bagi seluruh Bangsa Johor, ia turut menjadi bukti bahawa anak Johor mampu berdiri sama tinggi dengan pelajar terbaik dunia.

Insya-Allah, mereka akan kembali membawa pulang bukan sahaja ilmu, tetapi juga pengalaman dan jaringan global, demi memacu kemajuan Johor di masa hadapan.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor