Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan & Peranti Tuisyen SPM Johor 2025
Alhamdulillah pagi ini saya menghadiri Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Johor 2025 & Penyerahan Peranti / Sijil Kolaboratif Bagi Program Anak Kita: Tuisyen SPM UPSI di Dewan Seminar, Jabatan Pendidikan Negeri Johor.
Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited meneruskan inisiatif Bantuan Awal Persekolahan (BAP) ini pada tahun yang ke-13 dengan bantuan “one-off” sebanyak RM150.00 bagi memastikan tiada murid yang tercicir atau terhalang daripada meneruskan pendidikan mereka akibat kesulitan kewangan.
Bagi negeri Johor, sebanyak RM87,219,450.00 telah diperuntukkan yang diberikan kepada semua murid warganegara dalam negeri ini. Inisiatif ini memberi manfaat kepada 581,463 murid di 1194 buah sekolah dalam 11 PPD di negeri ini.
Hasil kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Yayasan Hasanah, Program Anak Kita Tuisyen SPM 2025 ini bertujuan untuk membantu murid-murid yang menghadapi cabaran dalam akademik, yang menyediakan bantuan kelas tuisyen, peranti dan pelan internet percuma selama setahun untuk membantu meningkatkan prestasi akademik calon SPM 2025 khususnya di negeri Johor.
Semoga usahasama dan kerjasama ini berterusan dalam memastikan Kemenjadian Murid dan Sekolah Kualiti di negeri Johor terus cemerlang demi kemajuan pendidikan berkualiti Bangsa Johor.