Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ICC ECER) di Putrajaya.
Menerusi pertemuan ini, perbincangan tertumpu kepada projek infrastruktur dan pembangunan modal insan di daerah Mersing dan Segamat, yang berperanan memajukan kawasan luar bandar. Setakat Mac 2025, ECERDC telah berjaya menarik pelaburan komited berjumlah RM2.6 bilion, jauh melepasi sasaran tahun ini. Pelaburan ini dijangka mewujudkan hampir 600 peluang pekerjaan di Segamat.
Usaha ini sejajar dengan matlamat Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), agar pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh dan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan ECERDC, saya yakin kita mampu mencapai aspirasi menjadikan daerah Segamat dan Mersing sebagai pemangkin pertumbuhan baharu Johor menjelang 2030.
Selain itu, terdapat juga perbincangan mengenai Projek Jemaluang Dairy Valley yang kini mencapai kemajuan 93% dan dijangka siap lebih awal daripada jadual. Saya amat berharap semua pihak kekal komited agar pelaksanaan projek ini dapat dimuktamadkan mengikut sasaran sekaligus memberi limpahan manfaat kepada Bangsa Johor.
Dalam pertemuan sama, saya turut menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Komersial Program IPR-INTAN diantara Pejabat Daerah Segamat (PDS) dan syarikat Chin Sam Chiap (CSC) Plantation Sdn Bhd.
Kerajaan Negeri akan terus komited dalam menyokong setiap inisiatif pembangunan yang dirancang bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan. Semoga setiap langkah yang diambil ini akan memberi impak positif yang berterusan terhadap pembangunan Negeri Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor