Majlis Perasmian Pembukaan ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025 yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri II, di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru.

Acara yang berprestij ini turut disertai oleh Menteri-menteri Pelancongan ASEAN serta Ketua Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan (NTO) ASEAN, yang bersama-sama menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam membangunkan industri pelancongan.

ATF 2025 edisi kali ini membawa tema “Unity in Motion: Shaping ASEAN’s Tourism Tomorrow”, yang memberikan fokus kepada harapan, inovasi, dan kelestarian dalam memajukan sektor pelancongan di rantau ini. Tema ini menjadi landasan untuk meningkatkan kerjasama, serta mewujudkan inisiatif yang memberi manfaat bersama bagi negara-negara ASEAN.

Selain itu, menerusi acara tersebut, pra-pelancaran logo Tahun Melawat Johor 2026 turut diumumkan dalam majlis ini. Langkah ini merupakan permulaan yang penting dalam usaha mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan utama di ASEAN.

Acara ini turut diserikan dengan persembahan tarian yang memukau dan busana yang berwarna-warni, menggambarkan kepelbagaian etnik dan budaya yang terdapat di ASEAN. Setiap persembahan bukan sahaja memperlihatkan keindahan seni dan budaya, tetapi juga menyampaikan mesej penting mengenai perpaduan dan keharmonian yang menjadi asas kukuh hubungan antarabangsa di kalangan negara-negara ASEAN.

Semoga usaha ini dapat menjadi pemangkin kepada pengenalan lebih mendalam tentang keunikan budaya, keindahan alam semula jadi, serta produk pelancongan hebat yang dimiliki oleh Johor kepada pelancong tempatan dan antarabangsa. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor