Pertemuan Dengan GP Bullhound Ltd

Syukur Alhamdulillah, saya bersama delegasi Johor telah mengadakan pertemuan dengan GP Bullhound Ltd, sebuah firma pelaburan teknologi global yang berperanan penting di sebalik kejayaan syarikat terkemuka dunia seperti Spotify, Revolut, Klarna dan Slack.

Pertemuan ini membuka ruang Johor untuk memahami dengan lebih dekat arah aliran pelaburan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), kuantum, fintech dan teknologi lestari yang sedang membentuk ekonomi global. Johor mesti bersedia untuk mengambil peluang daripada arus perubahan ini.

Pada masa yang sama, saya turut berkongsi mengenai Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang bakal membuka peluang besar dalam sektor digital, AI, fintech dan pelaburan hijau, disokong oleh IMFC-J sebagai pusat sehenti pelaburan dan JTDC dalam melahirkan bakat tempatan berkemahiran tinggi.

Keseluruhan ekosistem ini mencerminkan potensi Johor yang menyeluruh, daripada utiliti dan tenaga mencukupi, persekitaran pelaburan yang kondusif, sehinggalah kepada bakat bertaraf dunia. Saya yakin pertemuan ini akan membawa pulangan besar kepada Johor melalui peluang pelaburan baharu, penciptaan pekerjaan berkualiti dan pembangunan bakat tempatan.

Semoga pertemuan ini membuka sinergi baharu dan menjadi pemangkin pelaburan bernilai tinggi di Johor. Dengan lonjakan pusat data, kecerdasan buatan dan ekonomi digital, Johor berada di landasan tepat untuk muncul sebagai hab teknologi utama rantau ini serta memberi manfaat langsung kepada seluruh Bangsa Johor. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor