Memperkukuh Sinergi: Lembaga Lada Malaysia (MPB)
Kami telah mengadakan lawatan kerja ke Kuching, Sarawak untuk meninjau pembangunan industri lada di sana. Lawatan bermula di Ibu Pejabat Lembaga Lada Malaysia (MPB) untuk mendapatkan gambaran keseluruhan industri ini.
Lawatan kami disambut YBrs. Encik Vincent Sawat, Ketua Pengarah serta Pegawai- pegawai MPB. Dalam pertemuan ini, kami diberi taklimat pentadbiran lembaga serta perkembangan dan potensi penanaman lada sebelum dibawa melihat kilang memproses lada yang ada di sini.
Tahun lalu menerusi pembentangan Belanjawan Johor 2025, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 ribu bagi pembangunan lada di Johor. Kami harap lawatan ini bakal memberi gambaran bagi pelaksanaan inisiatif ini terutama dalam menambah jumlah keluasan dan pengeluaran lada di Johor.
Untuk rekod waktu ini, Johor hanya mempunyai kawasan penanaman lada seluas 19.2 hektar melibatkan 84 pekebun dan mengeluarkan 77.58 mt setahun. Manakala keseluruhan Semenanjung Malaysia mengimport hampir 3 ribu tan lada hitam setahun. Ia memberi peluang dan potensi yang besar kepada pengusaha dalam industri ini.
Turut sama, En Nelson Fu, Pengarah Lembaga Lada Malaysia (MPB) Wilayah Semenanjung, dan Dato’ Mohamad Adha bin Jaid, Setiausaha Persatuan Penanam & Usahawan Lada Selatan (PEDAS).