Meninjau Kemajuan Kerja-Kerja Menaik Taraf Pejabat Tanah Dan Galian

Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang meninjau kemajuan kerja-kerja menaik taraf Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor yang sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Julai 2025.

Penambahbaikan ini melibatkan penaiktarafan menyeluruh, termasuk:
1. Penambahan 12 unit kaunter baharu khusus untuk urusan hak milik strata.
2. Pewujudan 54 jawatan baharu merangkumi pegawai pendaftar, kerani kaunter, dan kerani sistem bagi mempercepatkan proses kerja dan mengurangkan masa menunggu rakyat.

Sebelum penambahbaikan ini, keupayaan pemprosesan urusan hak milik strata adalah sekitar 120 folder sehari. Dengan inisiatif baharu ini, kapasiti pemprosesan meningkat lima kali ganda kepada 600 folder sehari, sekaligus mempercepatkan penyampaian dan mengurangkan tunggakan kerja.

Selain itu, PTG Johor turut melaksanakan penambahbaikan proses kerja yang mempercepatkan tempoh kelulusan dan pendaftaran urusan tanah, termasuk:
1. Permohonan oleh kepentingan asing dipendekkan daripada 70 hari kepada 21 hari;
2. Urus niaga dan bukan urus niaga tempatan dipendekkan daripada 14 hari kepada 7 hari.

Kerajaan Negeri juga memberi perhatian kepada penggunaan teknologi dalam sistem tanah negeri, termasuk:
1. Peruntukan RM1.55 juta untuk naik taraf Portal Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB) merangkumi e-serahan, e-carian, dan e-consent. Carian persendirian atas talian hak milik strata telah tersedia dan bakal diperluas kepada hak milik ‘landed’.
2. Peruntukan RM500,000 untuk pembangunan sistem e-SBKS yang mempercepatkan urusan SBKS, ubah syarat, pecah sempadan, dan pindah milik. Tempoh permohonan SBKS kini dipendekkan daripada 510 hari kepada hanya 53 hari. Sistem ini dijangka dilancarkan kepada umum pada September ini.

Bagi menampung keperluan kos operasi tersebut, Kerajaan Negeri telah berbincang tentang cadangan peningkatan Fi Levi Kelulusan Perolehan Hartanah oleh Kepentingan Asing daripada 2% dengan minimum RM20,000 kepada 3% dengan minimum RM30,000. Selain itu, cadangan peningkatan juga melibatkan bayaran pendaftaran urus niaga pindahmilik tanah bagi hartanah melebihi RM500,000 dan ke atas dengan tambahan RM500 bagi setiap tambahan nilaian hartanah RM100,000. Cadangan ini juga telah melalui sesi libat urus dan perbincangan antara PTG Johor bersama REHDA Johor dan Johore Bar Committee.

Sejak tahun 2014, kadar levi bagi kelulusan perolehan hartanah oleh kepentingan asing telah dikuatkuasakan dan sehingga kini belum pernah disemak semula. Begitu juga dengan kadar bayaran pendaftaran bagi urus niaga pindah milik tanah yang masih mengikut Jadual JPU94, yang telah digunakan sejak tahun 2004 tanpa sebarang pelarasan.

Inisiatif ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri komited untuk memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan awam agar lebih cekap, telus dan responsif kepada keperluan rakyat.

Semoga segala usaha penambahbaikan ini akan terus melancarkan urusan rakyat, mempercepatkan kelulusan urusan tanah, dan memperkukuh keyakinan pelabur terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam di Negeri Johor. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor