Meninjau Kerja-Kerja Menaik Taraf Kemudahan Awam Dan Rekreasi Di Hutan Bandar Johor Bahru
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan meninjau kerja-kerja menaik taraf kemudahan awam dan rekreasi di Hutan Bandar Johor Bahru, sebuah lokasi riadah yang menjadi nadi hijau bandar raya Johor Bahru.
Dengan keluasan lebih 50 ekar, kerja-kerja naik taraf yang sedang dilaksanakan kini melibatkan peruntukan berjumlah RM10.3 juta di bawah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). Pembangunan ini dibahagikan kepada tiga zon utama dimana:-
1. Zon 1 bagi pengindahan dan utiliti seperti pintu gerbang dan laluan semula jadi;
2. Zon 2 bagi kemudahan rekreasi seperti tapak perkhemahan, taman rama-rama dan boardwalk; serta
3. Zon 3 bagi kawasan permainan termasuk kolam kanak-kanak dan aktiviti “flying fox”.
Selain projek utama ini, kerja-kerja lain turut dilaksanakan bagi mempertingkatkan infrastruktur dan pengalaman pengunjung termasuklah naik taraf Anjung Selera Hutan Bandar serta kerja naik taraf sistem perparitan, elektrikal, dan pejalan kaki di sekitar Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) dan Jalan Yahya Awal. Semua usaha ini dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa, bersih dan inklusif.
TMIYC yang terletak dalam kawasan Hutan Bandar terus menjadi tumpuan anak muda Johor. Pelbagai aktiviti mingguan dan bulanan seperti JB Muzika, JB Fit, JB Glowalk serta aktiviti ekstrem seperti Skateboard dan Climb 4 Fun menjadikan kawasan ini pusat pembangunan belia yang aktif dan dinamik. Inisiatif ini selaras dengan usaha Kerajaan Negeri menjadikan Johor sebagai negeri belia berdaya maju dan bersemangat tinggi.
Inisiatif ini turut menjadi sebahagian daripada persiapan menuju Tahun Melawat Johor 2026, dengan Hutan Bandar terus diperkasakan sebagai destinasi riadah keluarga dan pelancongan hijau. Ia melambangkan keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian di tengah pesatnya kemajuan bandar raya Johor Bahru. Semoga usaha ini memperindah wajah Johor Bahru sebagai bandar yang bersih, selamat dan berdaya huni. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




