Meninjau Medan Niaga Kampung Melayu Majidi,
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan meninjau sendiri Medan Niaga Kampung Melayu Majidi, sebuah nadi ekonomi masyarakat setempat yang menjadi kebanggaan warga Johor Bahru.
Medan Niaga ini merupakan hasil pembangunan semula pasar awam oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, melibatkan peruntukan sebanyak RM19.8 juta serta tambahan RM7.79 juta bagi kerja-kerja naik taraf yang telah siap sepenuhnya pada tahun 2024.
Kini, Medan Niaga ini menempatkan 147 unit premis yang terdiri daripada bazar, pasar basah, medan selera dan kedai serbaneka, menjadikannya pusat perniagaan moden yang tetap mengekalkan nilai budaya serta komuniti setempat.
Dalam lawatan ini, saya turut berpeluang bertemu dengan para peniaga dan mendengar sendiri cadangan mereka antaranya berkaitan fasiliti mesra OKU, kebersihan kawasan, penyelenggaraan longkang dan sistem perangkap lalat, sistem pengudaraan serta pencahayaan waktu malam bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung sentiasa terjamin.
Kerajaan Negeri komited memastikan Medan Niaga Kampung Melayu Majidi terus menjadi pusat tumpuan rakyat dan ruang rezeki kepada para peniaga, di samping menyediakan makanan yang sedap, harga berpatutan dan suasana yang selesa untuk semua lapisan masyarakat.
Usaha ini seiring dengan tekad Kerajaan Negeri dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat, memperkukuh ekonomi tempatan dan memastikan kesejahteraan seluruh Bangsa Johor sentiasa terpelihara. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




