Menjunjung Titah: Usaha Mensifarkan Kemiskinan di Johor

Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, supaya usaha dilaksanakan segera agar tiada seorang pun Ketua Isi Rumah (KIR) Bangsa Johor berstatus “miskin”. 

Pemangku Sultan Johor telah bertitah sebelum ini pada Mei 2024 agar usaha sama dilakukan untuk mensifarkan golongan “miskin tegar”. Syukur Alhamdulillah, berkat usaha pelbagai pihak, sebanyak 4,378 Ketua Isi Rumah Miskin Tegar yang direkodkan pada Mac 2023 telah berjaya disifarkan sepenuhnya pada Julai 2024. Bagi fasa kedua yang melibatkan 1,360 Ketua Isi Rumah Miskin Tegar yang direkodkan pada Jun 2024 turut berjaya disifarkan ada April 2025. 

Untuk makluman semua, terdapat perbezaan antara dua kategori kemiskinan, iaitu Miskin Tegar dan Miskin:

1. Kategori “Miskin Tegar” merujuk kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM317 per kapita.

2. Kategori “Miskin” pula melibatkan isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM735 per kapita.

Kini, tumpuan Kerajaan Negeri Johor beralih kepada kelompok miskin dimana terdapat 8,249 KIR yang direkodkan pada 31 Oktober 2025.

Insya-Allah Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi Kerajaan Persekutaan akan berusaha sehabis baik bagi mensifarkan kemiskinan melalui pendekatan yang holistik, inklusif dan berfokus kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

Patik dan seluruh Bangsa Johor menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor serta seluruh Keluarga DiRaja Johor, atas keprihatinan dan kasih sayang Tuanku terhadap rakyat, khususnya mereka yang memerlukan.

Saya menyeru agar semua agensi dan pihak berkaitan terus turun padang, memastikan setiap dasar dan pelan tindakan dilaksanakan dengan penuh ketelusan, kecekapan dan keberkesanan, supaya setiap rakyat Johor benar-benar merasai nikmat pembangunan dan kemakmuran negeri ini. Semoga golongan yang memerlukan di Johor terus terbela, dan hasrat kita bersama untuk menoktahkan kemiskinan di negeri ini akan tercapai, Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorSelamat #JohorBersih #XtifJohor