Pelancaran LEGO®️ Ferrari Build & Race Attraction di LEGOLAND Malaysia Resort

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan merasmikan pelancaran LEGO®️ Ferrari Build & Race Attraction di LEGOLAND Malaysia Resort, satu kolaborasi ikonik antara dua jenama global, LEGO®️ dan Ferrari yang buat julung kalinya diperkenalkan di rantau Asia.

Seiring dengan Tahun Melawat Johor 2026, pembukaan LEGO®️ Ferrari Build & Race ini bakal mengukuhkan lagi kedudukan LEGOLAND Malaysia sebagai destinasi keluarga utama di Asia Tenggara. Tarikan ini menyatukan kegembiraan sukan bermotor dan imaginasi tanpa batasan dalam permainan LEGO.

Melalui tarikan baharu ini, pengunjung berpeluang mereka bentuk, membina dan berlumba dengan kereta Ferrari LEGO®️ ciptaan mereka sendiri, sambil meneroka dunia perlumbaan sebenar melalui trek maya interaktif yang menggabungkan kreativiti hands-on, teknologi digital canggih dan semangat perlumbaan legenda Ferrari. Antara daya tarik utamanya adalah model LEGO®️ Ferrari F50 bersaiz sebenar pertama di dunia, dibina khas untuk LEGOLAND Malaysia Resort.

Pelancaran ini menandakan satu lagi kejayaan besar dalam memperkukuh sektor pelancongan Johor. LEGOLAND Malaysia terus membuktikan keupayaannya sebagai destinasi keluarga bertaraf antarabangsa, menjadi pilihan jutaan pelawat dari seluruh dunia serta ikon pelancongan yang membanggakan Negeri Johor.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada LEGOLAND Malaysia Resort, Ferrari dan Merlin Entertainments Group atas kepercayaan berterusan terhadap Johor sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan bertaraf dunia. Semoga tarikan ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berimaginasi, berinovasi dengan semangat juang yang tinggi. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor