Meninjau Projek Pembangunan Taman Awam Di Taman Teluk Danga, Johor Bahru
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan meninjau projek pembangunan Taman Awam di Taman Teluk Danga, Johor Bahru, sebuah inisiatif penting yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dimana ia bakal menjadi ruang rekreasi utama untuk rakyat dan pelancong.
Taman awam seluas 5.7 ekar ini dibangunkan dengan gabungan elemen fizikal moden dan ciri-ciri taman pintar. Antara fasiliti utama yang sedang dalam fasa akhir pembinaan termasuk laluan pejalan kaki yang lebih selesa, Sky Bridge, kawasan permainan kanak-kanak, kemudahan riadah, serta landskap yang memperindah keseluruhan kawasan.
Selain kemudahan rekreasi, projek ini turut memperkenalkan teknologi taman pintar bagi meningkatkan keselamatan, keselesaan dan pengalaman pengunjung. Ciri-ciri tersebut merangkumi sistem pencahayaan adaptif, kawalan pintu masuk berasaskan QR dan RFID, sistem pengairan automatik, smart bin, dan pemantauan keselamatan melalui CCTV. Dengan gabungan teknologi ini, Taman Awam Teluk Danga berpotensi menjadi ruang awam paling moden dan interaktif di Johor Bahru.
Projek ini dijangka siap sepenuhnya dan dibuka kepada umum pada Februari 2026, sejajar dengan persediaan negeri menghadapi Tahun Melawat Johor 2026. Dengan landskap yang indah, kemudahan rekreasi bertaraf tinggi dan pelaksanaan teknologi pintar, taman ini bakal menjadi tarikan baharu yang memperkukuh ekosistem pelancongan dan rekreasi di negeri Johor.
Saya yakin, pembangunan ini akan memberi nilai tambah yang besar kepada bandar raya Johor Bahru bukan sahaja dari sudut tarikan pelancongan, tetapi juga sebagai ruang kehidupan yang lebih moden, selamat dan inklusif untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
#BangsaJohor #MajuJohor #MajesticJohor #TahunMelawatJohor2026 #VisitJohor2026 #MehLahJohor




