Solat Subuh Berjemaah Di Masjid An Nur, Perumahan MARA, Tampoi

Kepada Allah kita berserah.

‎لاحول ولا قوة إلا بالله

Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid An Nur, Perumahan MARA, Tampoi dan mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Tuan Haji Nooh bin Kadri, Mantan Kadi Besar Johor, yang berkongsi kisah rahsia kebangkitan.

Beliau menekankan bahawa kebangkitan umat Islam bermula daripada kebangkitan hati dan jiwa. Apabila hati hidup dengan zikrullah, iman menjadi sumber kekuatan. Namun apabila hati lalai, maka lemahlah semangat dan jati diri umat. Rahsia kebangkitan juga terletak pada ilmu, amal dan akhlak. Ilmu tanpa amal tidak memberi manfaat, dan amal tanpa keikhlasan tidak diterima.

Kami turut diingatkan tentang tujuh sekatan jalan menuju syurga. Antaranya ialah iman, solat, puasa, zakat, menunaikan haji, menghindari kezaliman terhadap manusia, dan hati yang sentiasa mengingati Allah dengan berzikir.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Asr ayat 1 hingga 3 yang bermaksud:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati kepada kebenaran dan kesabaran.”

Kebangkitan Islam bermula dengan usaha diri dan kesedaran bersama. Jika setiap langkah dimulakan dengan niat kerana Allah dan disulami zikrullah, lahirlah kekuatan serta keberkatan. Semoga kita dikurniakan hati yang hidup dan istiqamah dalam menuju reda-Nya. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor

#BangsaJohor #MajuJohor #SemarakSubuhJohor #GengSubuhMacamJumaat #RapatkanSaf