Menyantuni Anak-Anak Calon SPM 2024

Alhamdulillah pagi ini saya meluangkan masa bersama anak-anak Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di SMK Agama Johor Bahru.

Bermula dengan bacaan Yaasin di Surau Ar-Rasyidin dan syukur saya diberi ruang untuk membacakan doa khusus kepada 118 anak-anak calon SPM 2024 agar diberikan ketenangan jiwa, kelapangan hati dan dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang peperiksaan berlangsung.

Kemudian, saya berkesempatan menyantuni dan memberi sedikit kata-kata motivasi sebelum mereka masuk ke dewan peperiksaan bagi Kertas 1 Bahasa Melayu.

Seterusnya, saya mengambil ruang masa yang ada untuk meninjau keadaan terkini fasiliti, infrastruktur serta persekitaran sekolah sambil diberi taklimat oleh Puan Hajah Normala Ismail, Pengetua SMK Agama Johor Bahru.

Saya mengucapkan juga Selamat Maju Jaya kepada 49,980 orang calon SPM 2024 melibatkan 306 sekolah di negeri Johor yang menduduki Peperiksaan Bertulis SPM bermula 2 Januari hingga 6 Februari 2025.

Semoga Anda Semua Beroleh Kejayaan Yang Cemerlang, Terus Berusaha Gigih dan Doa Kami Semua Sentiasa Mengiringi Perjuangan Adik-Adik.

Turut sama hadir, YB Liow Cai Tung, Ahli Dewan Negeri Kawasan Johor Jaya; YB Dato’ Haji Ahmad Faisal Mohamed, Timbalan Mufti Johor.