Syukur Alhamdulillah. Terima kasih YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri I yang sudi merasmikan Majlis Pembangunan Bakat Johor atau Johor Talent Development Council (JTDC).
Johor merupakan negeri perintis membangunkan JTDC dimana ia akan menjadi tonggak bagi usaha menampung keperluan bakat dan tenaga kerja mahir dalam kalangan anak muda yang diperlukan industri selari dengan pewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan menetapkan gaji premium bagi diploma bermula RM4,000 manakala bagi ijazah RM5,000 bagi pusat data.
Sebanyak 116 pemain industri utama pelbagai sektor seperti Mercedes Benz, ByteDance, Microsoft dan Legoland telah hadir dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Negeri dalam memperkasa agenda JTDC. Menerusi inisiatif ini, ia akan:-
1. Menyelaras semula latihan dan pendidikan supaya lebih relevan dengan keperluan semasa dan masa depan.
2. Menjadi pusat sehenti bagi memudahkan pengurusan pengambilan tenaga kerja mahir serta memudahkan pelabur masuk ke Johor, dengan kerjasama Invest Malaysia Facilitation Centre Johor (IMFC-J).
3. Penghubung utama antara industri dan institusi pendidikan tinggi bagi memastikan graduan mendapat peluang kerjaya yang lebih kompeten dan berdaya saing.
4. Memainkan peranan dalam mengumpul dan menganalisis data mengenai keperluan tenaga kerja di Johor dalam merangka strategi yang mampan untuk memenuhi permintaan tenaga kerja mahir dan berkemahiran tinggi.
Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh kementerian, agensi-agensi persekutuan dan negeri serta pemain-pemain industri yang memberi sokongan dan kerjasama bagi menjayakan inisiatif ini dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memenuhi keperluan industri terutamanya di Johor dan Malaysia secara keseluruhan.
Saya yakin dan pasti dengan dasar yang komprehensif dan sokongan padu semua pihak, usaha ini akan membolehkan Johor mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030 dengan menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, dan mempersiapkan anak muda kita untuk berdepan dengan cabaran ekonomi global yang semakin mencabar.
Semoga hubungan baik dan usaha sama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mampu memberi impak positif kepada kualiti hidup rakyat dan memakmurkan negeri serta negara ke tahap yang lebih baik. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor