Lawatan ke Fuji Oil Holdings Inc., Fuji Oil Asia Pte.
Syukur Alhamdulillah, saya dan delegasi Kerajaan Negeri telah ke Osaka, Jepun dan mengadakan lawatan ke Fuji Oil Holdings Inc., sebuah syarikat industri minyak dan lemak, khususnya dalam pengeluaran bahan makanan dan bahan mentah untuk pelbagai sektor.
Anak syarikat Fuji Oil Holdings Inc., Fuji Oil Asia Pte. Ltd. telah memeterai kerjasama bersama Johor Plantations Group Berhad (JPG) yang merupakan kumpulan syarikat Johor Corporation (JCorp) untuk membina kilang penapisan minyak sawit dan lemak khusus yang merupakan sebahagian daripada Integrated Sustainable Palm Oil Complex (ISPOC) di Pasir Logok, Kota Tinggi, Johor dengan nilai pembangunan awal berjumlah RM500 juta dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2026.
Dalam sesi tersebut, kami turut dibawa melawat ke kilang, termasuk melihat tank terminal, kilang penapisan, dan melihat sendiri proses pembuatan coklat di kilang tersebut. Mereka juga memperkenalkan beberapa produk yang dijual di pasar raya dan kedai serbaneka yang menggunakan bahan dari Fuji Oil.
Hasil lawatan ini kami yakin kerjasama antara Fuji Oil & Johor Plantations Group Berhad (JPG) akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, dalam sektor pengeluaran dan pemprosesan makanan seterusnya disusuli dengan perbincangan mengenai latihan dan pembangunan kemahiran untuk tenaga kerja tempatan, yang akan meningkatkan daya saing industri di Johor.
Semoga segala usaha ini membuka ruang untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dan memberi manfaat kepada negeri serta rakyat Johor. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor