Lawatan Kerja ke Jebel Ali Free Zone (JAFZA), Dubai

Syukur Alhamdulillah, saya dan delegasi Kerajaan Negeri Johor mengadakan lawatan kerja ke Jebel Ali Free Zone (JAFZA), Dubai, sebuah syarikat logistik multinasional yang terkemuka di bawah pengurusan DP World.

Menerusi perjumpaan ini, DP World telah berkongsi pengalaman mereka dalam mengintegrasikan teknologi moden untuk meningkatkan kecekapan perdagangan dan logistik. JAFZA memainkan peranan penting dalam memudahkan urusan tersebut.

Semasa lawatan, saya teruja melihat teknologi yang digunakan di JAFZA dalam memastikan perniagaan dapat beroperasi dengan lebih cekap dan lancar seperti:-
1. Mewujudkan platform digital bagi mengurus operasi secara dalam talian;
2. Teknologi logistik moden seperti sistem pengesanan masa nyata (real-time tracking) bagi memastikan penghantaran barang dapat diurus dengan lebih pantas;
3. Pengendalian automatik dengan kren automatik dan robotik untuk memuat dan memunggah kargo dengan kecekapan tinggi.

Dengan kerjasama dan pembelajaran dari model zon perdagangan bebas seperti Jebel Ali, saya berharap kita mampu meneroka peluang strategik yang dapat memperkukuh rangkaian logistik dan perdagangan di Johor.

Kerajaan Negeri komited untuk mencontohi pendekatan strategik JAFZA, bukan sahaja untuk merangsang perdagangan antarabangsa tetapi juga untuk mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup Bangsa Johor. Dengan visi yang jelas, Johor bersedia melangkah ke hadapan sebagai peneraju ekonomi serantau. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor