Perjumpaan bersama Mubadala Investment Company dan MASDAR
Syukur Alhamdulillah, dalam lawatan kerja ke Abu Dhabi, saya bersama delegasi Kerajaan Negeri Johor berpeluang berjumpa dengan Mubadala Investment Company dan MASDAR.
Mubadala merupakan sebuah entiti pelaburan milik Kerajaan Abu Dhabi. Syarikat ini juga melabur sebanyak USD 350 juta dalam Princeton Digital Group, sebuah pusat data terkemuka di Asia, yang turut membangunkan pusat data AI mereka di Sedenak, Johor.
Manakala MASDAR yang juga dikenali sebagai Abu Dhabi Future Energy Company adalah sebuah syarikat tenaga yang boleh diperbaharui dan beroperasi sebagai anak syarikat Mubadala Investment Company.
Perjumpaan bersama syarikat-syarikat ini penting khususnya dalam membincangkan potensi kerjasama yang strategik dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau dan teknologi buatan (AI) di mana Johor berpotensi menerima pelaburan besar dalam pembangunan industri masa depan.
Menerusi perjumpaan ini, saya telah berkongsi peluang pelaburan utama di negeri ini melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi menyokong agenda pembangunan Johor sebagai sebuah kuasa ekonomi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Syukur Alhamdulillah, Mubadala dan MASDAR telah menaruh keyakinan dan persediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor. Semoga segala usaha dan pertemuan ini mampu membuahkan hasil dan memberi limpahan ekonomi buat negeri dan Bangsa Johor, bagi merealisasikan hasrat negeri Johor menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor