Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Ibrahim International Business District (IIBD) 1/2024

Syukur Alhamdulillah, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Ibrahim International Business District (IIBD) 1/2024 di Menara Komtar, JBCC.

Kerajaan Negeri komited terhadap pembangunan strategik melalui IIBD, sebuah inisiatif rejuvenisasi pusat bandar Johor Bahru. Pembangunan ini melibatkan kerjasama erat antara JCorp, JLand Group (JLG), State Secretary Johor Incorporated, dan Iskandar City Development Sdn. Bhd.

Perbincangan ini memainkan peranan penting dalam memastikan inisiatif pembangunan IIBD seiring dengan potensi besar yang dibawa oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dijadualkan dimeterai pada Januari 2025 ini. Selain itu, Pelan Induk Transformasi IIBD yang dirangka oleh JLG menggariskan elemen jangka pendek dan panjang berasaskan empat strategi utama iaitu ekonomi, komuniti, ‘urban environment’ dan ‘connectivity.

Seterusnya, saya berkesempatan merasmikan dan melawat ruang pameran IIBD Urban Lab yang mengetengahkan tema “Boosting Economy, A Vibrant City Centre”. Pameran ini memberikan gambaran menyeluruh tentang Pelan Urbanisasi Johor Bahru yang menarik, dengan fokus kepada pembangunan ekonomi dan mencipta pusat bandar yang lebih lestari.

Melalui perancangan strategik dan pelaksanaan menyeluruh, Kerajaan Negeri yakin bahawa IIBD dapat melengkapkan ekosistem pembangunan ekonomi Johor, termasuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih lancar antara Johor dan Singapura.

Semoga segala perancangan projek berimpak tinggi ini dapat dilaksanakan sebagai usaha utama untuk memastikan pembangunan mampan demi kesejahteraan Bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhan. Insya-Allah.

Turut hadir, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, YB Datuk Abd Aziz Bin Engan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), YB Dato’ Haji Asman Shah Bin Abd. Rahman; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), YB Dato’ Hj Mohd Noorazam Bin Dato’ Hj Osman; Presiden / Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCORP), Datuk Syed Mohamed Bin Syed Ibrahim; serta Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan, Negeri dan Agensi.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor