Raja Permaisuri Agong Berangkat Ke Projek Bangsa Johor Bahagia 2.0
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Projek Bangsa Johor Bahagia (BJB) 2.0 di Flat Hijau, Taman Plentong Utama, Johor Bahru pada hari ini (9 Ogos).
Keberangkatan Seri Paduka Baginda disambut oleh Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan isteri serta Dato’ Asman Shah Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Johor dan isteri.
Hadir sama, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Seri Paduka Baginda berkenan merasmikan Kelab Suka Belajar dan meluangkan masa melawat bilik kelab tersebut sambil menyantuni kanak-kanak di situ.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima persembahan taklimat aktiviti BJB 2.0 daripada wakil UTM, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Raja Permaisuri Agong kemudian berkenan menerima sembah ucapan daripada wakil penduduk Rumah Pangsa Taman Plentong Utama.
Surirumah, Izwani Md Noor, 38 menzahirkan rasa syukur kerana Projek BJB 2.0 ini memberi ruang kepada penduduk untuk melakukan perubahan.
“Program Bangsa Johor Bahagia ini benar-benar membuka mata dan hati kami. Ia memberikan nafas baharu kepada komuniti kami – dari segi peluang, ilmu, kesedaran dan sokongan. Kami rasa dihargai dan dilihat semangatnya oleh pihak Istana, Kerajaan Negeri dan UTM yang sentiasa membimbing kami” katanya.
Turut berlangsung majlis serahan replika cek daripada Kerajaan Negeri Johor berjumlah RM 1 juta kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) bagi tujuan Projek BJB 2.0.
Dua buah sekolah di bawah program Johor Stars Go Global YRZSNJ turut merima replika cek sumbangan sebanyak RM 10,000 daripada YRZSNJ.
Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa bergambar dan beramah mesra bersama penduduk sebelum berangkat pulang.
Projek (BJB) merupakan satu inisiatif berimpak tinggi yang diilhamkan oleh KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, dan mula dilaksanakan di Rumah Pangsa Kangkar Pulai sejak tahun 2019.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor




