Misi Menyantuni Masyarakat Orang Asli di Mersing

Alhamdulillah, misi untuk menyantuni masyarakat Orang Asli di kesemua 60 kampung diteruskan.

Kali ini, kami bersama Hj Youzaimi Yusof, Pengerusi JPKD Endau ke 3 Kampung Orang Asli (KOA) di sekitar Mersing iaitu KOA Tewowoh, KOA Punan dan KOA Peta. Lawatan kali ini agak mencabar laluannya, dan KOA Peta merupakan penempatan Orang Asli paling jauh lokasinya di negeri Johor, dengan jarak dari jalan raya utama Kahang-Mersing lebih kurang 60 kilometer.

Jalan sedia ada merupakan jalan ladang (tanah merah) dan terdapat jalan yang sering ditenggelami air selepas hujan terutamanya kawasan yang rendah dan menyukarkan urusan keluar masuk penduduk sekitar.

Kami harap projek pembinaan jalan masuk ke Taman Negara Endau-Rompin dari Kahang ke Sungai Emas sejauh 30 kilometer yang sedang dilaksanakan oleh ECERDC ini dapat disiapkan segera mengikut jadual. Apabila siap nanti, ia akan menambah baik kemudahan akses perhubungan jalan raya kepada penduduk di perkampungan Orang Asli di sepanjang jajaran tersebut.

Di 3 KOA ini, terdapat lebih 600 orang penduduk dari suku kaum Jakun. Di samping menyantuni dan menziarahi penduduk di 3 KOA tersebut, kami turut menyampaikan Bantuan Kasih Johor sumbangan YAB MB Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi kepada penduduk Orang Asli di kampung tersebut. Alhamdulillah, semua gembira dan menzahirkan penghargaan atas bantuan ini.

Saya turut ambil peluang untuk mengambil maklum perkara-perkara dan isu berbangkit berkaitan pembangunan kampung daripada kepimpinan dan penduduk setempat. Antara perkara yang dibangkitkan adalah mengenai keperluan bantuan perumahan (bina baru & baik pulih), baik pulih TABIKA KEMAS, keperluan kerusi roda, keperluan peralatan bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan, bantuan sokongan aktiviti ekonomi setempat dan sebagainya.

Alhamdulillah, pengalaman baru dengan perjalanan yang berliku dan penuh dengan cabaran ini dapat kami tempuhi dan selamat pergi dan balik. Terima kasih kepada kepimpinan setempat terutamanya Tok-tok Batin dan penduduk yang menyambut baik kehadiran kami.

Terima kasih kepada semua yang terlibat sama dalam lawatan ini, terutamanya En Faisal bin Long, Pengarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor, Haji Yosri bin Mohd, Pengarah Pertanian Negeri Johor, Pegawai Pertanian dan Veterinar Mersing dan kepimpinan UMNO Bahagian Mersing.