Pelancaran Friends Of Johor
Syukur Alhamdulillah, saya telah menyaksikan pelancaran Friends of Johor, sebuah platform strategik yang diwujudkan sebagai jambatan pelaburan jangka panjang antara Johor dan rakan-rakan strategik di China.
Inisiatif ini berfungsi sebagai ‘investment pipeline’ yang menghubungkan pelabur secara berterusan dengan rakan stategik bagi memastikan pelaburan dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar.
Perjumpaan di Shanghai China ini juga memberi fokus kepada perbincangan meja bulat bersama Maybank dan MAYCHAM yang menghimpunkan lebih 30 pelabur dan syarikat utama dari China telah juga berjalan dengan baik dan lancar.
Melalui kerangka Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), Johor terus diposisikan sebagai destinasi pelaburan utama serantau. Fokus diberikan kepada sektor bernilai tinggi seperti industri termaju, tenaga bersih, logistik pintar, kewangan digital, industri halal dan kesihatan yang membuka peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat Johor.
Melalui sesi ini, Johor turut berkongsi inisiatif utama negeri termasuk Invest Malaysia Facilitation Centre-Johor (IMFC-J) sebagai pusat pemudah cara pelaburan sehenti serta Johor Talent Development Council (JTDC) yang memacu pembangunan bakat dan tenaga kerja berkemahiran. Kerjasama dengan rakan strategik amat penting bagi menyokong kemasukan pelabur ke Johor secara lancar, tersusun dan berimpak tinggi.
Semoga segala usaha ini terus memperkukuh limpahan ekonomi negeri, membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat dan memberi nilai tambah kepada kualiti hidup seluruh Bangsa Johor dari pelbagai aspek kehidupan. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah




