Perbincangan Strategik Bersama Alibaba Group Holding Limited Di Hangzhou, China

Syukur Alhamdulillah, saya dan delegasi Johor telah mengadakan perbincangan strategik bersama Alibaba Group Holding Limited di Hangzhou, China, bagi meneroka peluang kerjasama yang lebih erat dalam kecerdasan buatan (AI).

Alibaba Group merupakan antara syarikat teknologi global terkemuka dalam bidang e-dagang, pengkomputeran awan, logistik pintar dan kecerdasan buatan (AI), yang menjadi pemacu utama pendigitalan perniagaan dan rantaian bekalan di peringkat antarabangsa.

Dalam pertemuan ini, perbincangan memberi tumpuan kepada potensi memperluas peranan Alibaba di Johor, termasuk penggunaan AI, pembangunan infrastruktur digital, perkhidmatan awan serta perdagangan digital selari dengan pembagunan pusat data di Johor.

Sebagai bukti komitmen serantau, Alibaba Cloud telah memperluaskan operasinya di Malaysia dengan pelancaran pusat data ketiga pada tahun 2025, dan merancang penambahan pusat data baharu dalam tempoh terdekat. Perkembangan ini menunjukkan keyakinan Alibaba terhadap Malaysia sebagai hab teknologi dan digital di Asia Tenggara, yang turut memberi peluang besar kepada Johor.

Kerajaan Negeri turut mengetengahkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai platform strategik bagi Alibaba mengembangkan penyelesaian digitalnya ke pasaran ASEAN, selain membuka ruang kerjasama untuk memperkasa PKS tempatan melalui pendigitalan, akses pasaran global dan pembangunan kemahiran digital.

Semoga lawatan kerja ini menjadi langkah awal ke arah kerjasama jangka panjang yang berimpak tinggi, memperkukuh ekosistem digital Johor, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan demi kesejahteraan Bangsa Johor. Insya-Allah. 

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JSSEZ #JTDC #IMFCJ