Pematuhan Lesen Perniagaan, Kawalan Harga, Serta Ketelusan Dalam Pengedaran Barang Bersubsidi
Syukur Alhamdulillah, saya bersama YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor dan YB Lee Ting Han turun padang bersama agensi penguatkuasaan dalam satu lawatan mengejut bagi memastikan pematuhan terhadap lesen perniagaan, kawalan harga barang bersubsidi, serta ketelusan dalam pengedaran barang bersubsidi kepada Bangsa Johor.
Dalam operasi ini, beberapa premis telah diperiksa bagi memastikan tiada sebarang penyelewengan berlaku. Antara aspek utama yang diberi perhatian termasuk:
1. Penjualan barang kawalan seperti gula, tepung, dan minyak masak paket
2. Pematuhan lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan
3. Ketelusan dalam pengedaran barang bersubsidi
Kerajaan Negeri memandang serius isu ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan. Subsidi rakyat adalah hak rakyat! Kita tidak akan membiarkan hak ini dinafikan oleh pihak yang tamak dan tidak bertanggungjawab.
Saya menyeru semua pihak agar bersama-sama membanteras ketirisan ini demi kesejahteraan rakyat Johor. Kerajaan Negeri dengan sokongan dan kerjasama Kerajaan Persekutuan akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan agar subsidi benar-benar sampai kepada mereka yang layak.
Semoga usaha ini membawa keadilan kepada rakyat dan memastikan kebajikan Bangsa Johor terus terbela serta memastikan Johor terus maju dengan penuh integriti. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor