Sesi Perbincangan Hala Tuju Pembangunan Digital Negeri Johor

Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan bertemu dengan Menteri Digital Malaysia, YB Gobind Singh Deo, di MITEC Kuala Lumpur bagi membincangkan hala tuju pembangunan digital negeri Johor. Pertemuan ini menjadi medan penting untuk memperkukuh peranan Johor dalam Data Centre Task Force (DCTF), memastikan pembangunan pusat data di negeri ini dilaksanakan secara menyeluruh, mampan dan memberi impak tinggi kepada rakyat.

Johor kini muncul sebagai peneraju pelaburan pusat data di Malaysia, dengan 42 projek bernilai RM164.45 bilion diluluskan setakat suku kedua 2025. Pelaburan ini dijangka mewujudkan lebih 6,000 peluang pekerjaan berkualiti, menyumbang 78.6% kapasiti IT operasi negara, dan menyasarkan 60% kapasiti pusat data Malaysia berpusat di Johor menjelang tahun 2030.

Selari dengan perkembangan ini, Kerajaan Negeri beraspirasi menjadikan Johor sebagai peneraju Artificial Intelligence (AI) dan ekonomi digital negara. Ini akan dicapai melalui pengintegrasian teknologi pintar dalam perkhidmatan awam, peningkatan daya saing industri, serta pembinaan ekosistem digital yang inklusif dan mampan, agar manfaat teknologi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.

Dengan gabungan infrastruktur pusat data berskala besar, kemajuan teknologi AI, dan dasar kerajaan yang progresif, Johor berpotensi menjadi pusat inovasi digital serantau. Inisiatif ini bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup Bangsa Johor melalui peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pembangunan industri baharu, dan penyelesaian pintar untuk cabaran harian rakyat.

Semoga usaha bersepadu ini akan memastikan Johor bukan sahaja kekal sebagai kuasa ekonomi negara, malah diiktiraf di peringkat global sebagai hab AI dan digital yang dinamik, berdaya tahan, dan memberi limpahan manfaat kepada negeri serta rakyatnya. Insya-Allah.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor